Seluruh tubuhku berasa amat
sakit. Hendak berjalan pun ku rasakan tidak berdaya lagi. Kepalaku
seakan-akan hendak pecah dan cuping telingaku berdarah. Akhirnya aku
terperosok di stor di belakang rumah, terbaring di atas lantai simen
yang kotor dan berdebu. Ku cuba pejamkan mata yang sudah hilang sinarnya
ini, tetapi suara mak encikku yang menengking di luar sana memaki hamun
diriku masih kedengaran.
Beginilah nasibku sejak akhir-akhir ini. Entah kenapa aku mendapat
mak encik yang tak macam orang lain. Lengan dan betisnya sama besar.
Maknanya sama ada aku kena penampar atau penendang, kesannya sama
sahaja. Wajahnya pula tak ayu langsung. Muka bulat dengan permukaan
berlubang-lubang, hidung pesek kembang pulak tu! Bibirnya saja ku kira
lima inci tebal dan lebarnya pula usahlah cerita, lebih-lebih lagi bila
dia memekik. Lainlah aku. Kadangkala aku terfikir jugak, entah-entah mak
encik aku cemburu dengan kecomelan dan kemontokkan tubuh aku ini
berbanding dengan tubuhnya yang bak tut tut...malas aku nak
menyebutnya...
Jelingannya pula cukup membuat aku kebas kaki dan tangan. Tatkala
dia mula menerjah aku memang rasa nak mati jam itu juga dan apabila dia
mula menghampiriku sambil menyingsing kain, aku yang terlantar seperti
ini. Pedih dan sakit. Tetapi mujurlah kepedihan dan kesakitan itu
terubat apabila aku memandang Syah Fazwan. Renungan matanya bagai ubat
yang menyembuhkan lukaku. Senyumannya memang amat kudambakan.
Kadangkala aku terfikir mengapa Syah Fazwan terlalu jauh beza dengan
emaknya, mak encikku itu? Bukan setakat perbezaan perangai tapi juga
paras rupa. Gamaknya Syah Fazwan ikut baka ayahnya yang sudah meninggal
dunia itu. Syah Fazwan adalah satu-satunya anak teruna mak encikku dan
satu-satunya insan yang begitu mengambil berat tentang diriku serta
satu-satunya lelaki yang berjaya mencuri hatiku!
Tetapi aku sedar bahawa aku cuma menumpang di rumah ini. Darjat Syah
Fazwan terlalu tinggi dan tak setaraf denganku. Namun aku terharu
dengan layanan Syah Fazwan. Dia tidak mengira pangkat dan darjat. Dia
membuatkan diriku begitu berharga.
Mengenangkan kebaikan Syah Fazwan kepadaku membuatkan aku melupakan
saja kekejaman emaknya. Biarlah tubuhku dibalun mak encikku, aku rela
asalkan Syah Fazwan masih menyayangi aku. Demi Syah Fazwan, aku sanggup
bertahan di sini walaupun nyawaku terancam setiap hari.
Mas! Mas! Mastura!!!" Tiba-tiba aku terdengar namaku diseru. Syah
Fazwan? Syah Fazwan dah balik? Aku cuba bangun tetapi tubuhku amat
lemah. Hari ini aku paling teruk ditibai mak encik. Pintu stor tiba-tiba
terkuak. Aku tahu Syah Fazwn yang datang dan dia juga tahu aku disini
sebab stor inilah tempat aku bersembunyi apabila mak encik naik angin.
"Ya Allah...Mas.kenapa berdarah-darah ini?" Syah Fazwan terkejut
sungguh melihat keadaanku. Aku cuma mendiamkan diri. Buat-buat memandang
ke arah lain agar Syah Fazwan tahu yang aku merajuk.
"Mak saya buat awak lagi ye? Sabarlah Mas...nanti saya tarukkan ubat
ye!" Tak lama kemudian Syah Fazwan keluar. Di luar aku dengar Syah
Fazwan bersoal jawab dengan emaknya.
"Emak tak patut buat Mas macam tu..dia pun ada perasaan, mak!" Lembut sekali suara Syah Fazwan.
"Eleh, apa yang dia tahu?!" Kasar sekali suara mak encik. "Kesianlah
kat Mas, mak..saya sayang dia!" Ucapan Syah Fazwan yang last itu
sungguh membuat aku bahagia.
Seminggu kemudian hidupku bagaikan di syurga. Mak encikku tak ada di
rumah kerana ikut rombongan persatuan wanita ke Langkawi. Hanya tinggal
aku dan Syah Fazwan. Dia melayan aku bagaikan puteri. Namun, dia tak
pernah mengambil kesempatan ke atasku. Ada suatu ketika Syah Fazwan
merenung ke dalam mataku. Indahnya saat itu!
Mak encikku balik semula ke rumah. Aku mula tak senang duduk. Tetapi
apa yang ku jangka tidak terjadi. Mak encikku benar-benar berubah. Dia
tidak lagi memaki hamun diriku apatah lagi mendera
aku seperti biasa. Air gamat cap apa yang dia minum kat Langkawi itu hari?
Entahlah. Aku benar-benar tak faham tapi aku bahagia jika betul mak
encikku berubah laku. Agaknya dia sudah boleh menerimaku dan aku juga
cuba mengambil hatinya. Aku senyum sendiri.
Pagi itu mak encikku kelihatan gembira betul. Wajahnya
berkilat-kilat. Syah Fazwan pun nampak riang semacam. Tak henti-henti
dia mengusikku. Mak encik nampak tak kisah.
Tengah hari itu ada tamu mengunjungi rumah mak encikku. Seorang
gadis yang...eleh, taklah cun sangat. Tapi Syah Fazwan layan dia dengan
mesra sekali. Gadis itu pun nampak macam miang je. Aku terbakar oleh api
cemburu. Mak encikku sekejap tersengih sekejap ketawa. Seronok le tu!
Aku memberanikan diri muncul di ruang tamu. Cuba
melenggang-lenggukkan langkahku di depan mereka. Syah Fazwan perasan
akan kehadiranku. "Ha..Mas..mari sini, saya nak kenalkan awak dengan
seseorang."
Gadis itu nampak tercenggang melihatku tapi akhirnya tersenyum sambil menjeling manja pada Syah Fazwan
"Inilah Sharifah, bakal tunang saya!" Kata Syah Fazwan sekaligus merentap jantungku.
"Ooooo..inilah Mastura yang you cerita tu ye? Dan mereka pun ketawa beramai-ramai. Berdekah-dekah.
Gelaklah. Gelaklah. Aku sedar siapalah aku, cuma seekor kucing
betina jalanan yang sekadar singgah di sini dan diberi nama olehmu, Syah
Fazwan! Mastura konon!!!!!